Qawwali: Tradisi Pemujaan di Makam Sufi



    Para pengemis menyambut kedatanganku di perkarangan makam. Pemilik restoran bersahut-sahutan memanggil, memintaku untuk membeli kupon  dan memberi makan kepada para kaum fakir. Laki-laki berkopiah putih berkeliaran ke sana ke mari, mengenakan pakaian kurta longgar hingga ke lutut, berpadu dengan seluar hingga ke mata kaki. Para wanita yang berjubah hitam pekat hanya menampakkan segaris pandangan mata.

Mendekati kawasan makam Hazrat Shaikh Khwaja Syed Muhammad Nizamuddin Auliya atau lebih terkenal sebagai Hazrat Nizamuddin, jalanan semakin sempit seiring dengan deretan kedai yang menampal di kedua sisi. Ramai penjual pajangan kaligrafi, buku dan kitab islamik, kurma, bunga hingga dupa. Berbeza dengan tradisi negara kita yang menggunakan pelbagai variasi bunga ketika berziarah, mulai bunga mawar, melati dan kenanga, namun di sini hanya menjual bunga mawar yang dirangkai menyerupai kalung atau diletakkan di atas piring yang terbuat daripada daun.

Tak hanya bunga. Para penziarah turut membawa dupa dan chaddar; kain berwarna yang dibingkai dengan renda kuning keemasan. Deretan chaddar ini tergantung di kedai-kedai. Di tengahnya bertulis lafaz dalam tulisan Urdu, mirip dengan tulisan jawi. Tak kurang juga yang bertuliskan lafaz Basmallah dan Syahadah. Sungguh kain ini mengingatkan aku dengan kain penutup keranda yang membawa jenazah di negara kita.

Hazrat Nizamuddin Dargah

Di sini, denyut jantung kebudayaan dan tradisi sufisme bervibrasi kuat. Seorang lelaki mengalunkan syair dan puisi, diselingi alunan muzik harmonika dan tabla yang dimainkan rakan-rakannya. Mereka duduk bersenandung berkiblatkan makam seorang wali Allah. Tradisi muzik pemujaan kepada Sang Khaliq dan salam hormat kepada para sufi ini dinamakan qawwali. Ia sangat popular di negara-negara Asia selatan, seperti India, Bangladesh dan Pakistan. Para pemuzik duduk bersila di atas lantai, berjajar dalam dua baris. Di baris depan, di hadapan mikrofon, ada penyanyi utama dan pemain harmonium – alat muzik seakan organ kecil yang bunyinya dihasilkan oleh paip udara yang mengembang dan mengempis seperti akordion. Di barisan belakang, juga duduk bersila, adalah penyanyi pengiring yang bertepuk tangan. Tepuk tangan, bersama tetabuhan gendang, adalah bahagian penting dalam sajian muzik qawwali.

Menurut buku Among the Believers tulisan peraih anugerah nobel sastera V.S. Naipaul yang pernah aku baca, Islam di Asia selatan adalah campuran kebudayaan yang pra-Islam, termasuk India tentunya. Di sini hidup spiritual sufisme berdaya mistik, yang merupakan detak jantung Islam di India, Pakistan, Bangladesh, hingga ke negara-negara Asia tengah. Islam yang mula-mula hidup subur di belahan tanah besar ini adalah sufisme, dan hingga sekarang masih nampak wujudnya.

Di antara kebiasaan yang tidak Islamik yang bercampur dengan kehidupan Islamik adalah tradisi berkunjung, berziarah, dan berdoa di makam-makam orang suci. Makam para sufi atau wali ini disebut dargah, tempat bersemayamnya Hazrat Syed Muhammad Nizamuddin Auliya, seorang muslim sunni merangkap guru sufi yang masyhur sekitar abad ke 14, adalah salah satu ikon kota Delhi yang dikunjungi ramai orang terutama pada hari Khamis dan ‘Urs’ (peringatan hari kematian) sang hazrat.

Para wanita yang mengunjungi makam

Aku tidak melihat bagaimana ramainya peringatan Urs di sini, tetapi aku terhanyut dalam alunan muzik mistik ini. Qawwali adalah alunan muzik Islamik yang berakar dari kebudayaan India dan Pakistan. Tradisi yang bermula sejak 7 abad silam ini diadakan di hadapan dargah. Namun menurut Abdul Mannan, seorang pemuda yang baru aku temui di sini mengatakan bahawa tradisi qawwali ini sebenarnya berasal dari Parsi (Iran dan Afghanistan ketika ini) sejak 800 tahun yang lalu. Ketika Islam masuk ke tanah Hindustan, tradisi ini semakin merambah Asia selatan. Kemudian seorang Sufi di Delhi bernama Amir Khusro Dehlavi menggabungkan tradisi muzik Parsi dan India lalu terciptalah tradisi qawwali yang kita kenal hingga saat ini. Nama rasmi bagi tradisi ini adalah Mehfil-e-sama.

Kebanyakan lagu qawwali menggunakan bahasa Urdu, bahasa kebangsaan negara Pakistan yang turut digunakan oleh sebahagian besar penduduk Muslim India. Urdu adalah gabungan antara bahasa Hindi dan Parsi. Lagu qawwali pula berupa bait-bait puisi yang secara implisit memiliki makna spiritual, meskipun adakala liriknya terdengar seperti lirik lagu sekular. Namun tema utamanya adalah tentang kecintaan, pengabdian dan kerinduan seorang hamba kepada Rabb nya. Liriknya diawali dengan pujian kepada Allah dan kemudian disusul dengan selawat kepada Nabi Muhammad dan dilanjutkan dengan lagu bertemakan cinta yang biasa dikenal dengan ghazal.

Di makam, aku melihat para penziarah membakar dupa dan memasuki kawasan batu nisan. Nisannya dikelilingi tembok dan kayu menerawang. Penziarah kemudiannya menutupkan chaddar di atas batu nisan dan menebarkan bunga. Berdoa dan dilanjutkan lagi dengan berjalan perlahan mengelilingi makam. Di India, wanita tidak diperbolehkan mendatangi perkuburan umum, tapi dibolehkan mendatangi makam wali atau sufi. Itupun digarisbataskan dengan hanya di luar tembok yang memagari batu nisan tersebut. Para kaum hawa membaca kitab Al Quran dengan khusyuk. Duduk bersimpuh sambil badannya melambai maju dan mundur. "Membaca Al Quran seperti ini adalah kebiasaan bagi orang India," terang Abdul Mannan.

Kaum wanita hanya dibolehkan berada di luar makam

Di tembok pula melilit ratusan bahkan ribuan benang merah yang seakan benang wool menandakan sebuah ikatan antara penziarah dengan wali Allah. Penziarah yang datang ke sini tidak hanya daripada kalangan kaum muslim, tetapi juga penganut Hindu dan agama lain. Mereka percaya bahawa kedatangan ke makam wali dapat mendatangkan berkah dan menyembuhkan penyakit, dan segala permohonan akan dikabulkan.

Bhar do jholi meri ya Muhammad.. Laut kar main na jaonga khali..” Nyanyian qawwali baru bermula ketika para pengunjung lelaki dan perempuan kian membanjiri tempat ini. Semakin ramai pengunjung yang berdesak-desak duduk bersila menghadap barisan penyanyi. Tak sangka, lagu kegemaranku dalam filem Bhajrangi Bhaijaan turut dinyanyikan di sini. Di tengah-tengah keramaian, seorang lelaki berjalan perlahan dengan membawa kipas berukuran jumbo yang terbuat daripada (mirip) bulu binatang. Mengibaskan kipas ke arah penziarah dan mengharapkan sedekah. Kibasan ini dianggap mendatangkan berkah. Dia turut menyemburkan wangian ke arah penonton. Aroma semerbak bunga mawar membawa kesegaran mengiringi lantunan muzik tradisional.

Aku menangkap beberapa lirik bahasa Urdu seperti “datanglah kekasih hatiku, datanglah…” atau “Tuhanku yang tercinta, di manakah engkau?”, atau “Allah hi Allah bol, hanya ucapkan nama Allah!” Dalam tradisi sufi, Tuhan digambarkan sebagai sang kekasih hati. Syair qawwali, isinya membangkitkan kecintaan pada Tuhan, kadangnya melantun panjang memerlukan kekuatan pita suara yang luar biasa, dan kadangnya rancak, cepat, dinamik dengan iringan tepukan tangan yang serentak.


Para pemuzik dihujani wang tanpa henti

Ekstasi spiritual, demikian ia disebut. Muzik ini mempunyai daya hipnotis yang luar biasa. Lagu-lagu qawwali berisikan pemujaan berpadu dengan kata-kata yang merasuk sukma. Tak jarang para pendengarnya boleh terkhayal dan terasuk kebahagiaan yang tiada tara mendengar keagungan dan kebesaran asma Allah. Tanpa sedar, para pendengar boleh menggeleng-gelengkan kepala tanpa henti ketika semakin larut dalam kedahsyatannya. Ada lelaki tua berjanggut yang serta merta berdiri, berputar-putar di depan penyanyi, semakin lama semakin cepat, terlarut dalam kebahagiaan spiritual yang tiada duanya. Pengunjung yang lain, masing-masing membawa not kertas rupee, menghujani para pemuzik dengan tompokan wang tanpa henti.

Tak perlu faham dengan maksud dan kata-kata di dalam lagu qawwali. Alunan nadanya sudah menggemakan kekuatan spiritual yang tak terhingga. Tengah malamnya, di kuburan seorang suci di kota Delhi, aku menyaksikan kekuatan muzik sufi yang lebih dahsyat lagi.

4 ulasan:

  1. Scary nya... Tapi. Benda baru saya belajar hari ini.. Tq!��

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tak ada apa yang scary pun. Ianya cuma tradisi dan budaya penduduk asia selatan :)

      Padam
    2. Sangat menarik tuan.. baru2 ni saya sendiri ke Hyderabad duduk dalam majlis Qawwali memang luar biasa

      Padam
    3. Wahhh dah pernah tengok juga ya.. Menarik bukan? Qawwali di Pakistan pun tak kurang hebatnya. Boleh rujuk catatan saya pada post Backpacking Pakistan episod 12 :)

      Padam

Search accomodation for your next trip!

Popular Posts

Trip.com

Bangsa membaca bangsa berjaya!

One Way at MYR79!